MUAR : Sebuah keluarga dari Kampung Sungai Balang di sini bimbang dengan keselamatan bapa mereka selepas warga emas itu gagal pulang ke rumah sejak empat hari lalu.
Sarju Ahmad, 96, sebelum ini dilaporkan keluar dari kediamannya pada 28 September lalu kira-kira pukul 10 pagi dengan menunggang motosikal jenis SYM berwarna Merah bernombor pendaftaran JSM 5722.
Menurut anaknya, Juwahir Sarju, 70, mereka sekeluarga percaya bapanya gagal menemukan jalan pulang ke rumah ekoran penyakit mudah lupa dihidapinya.
“Kebiasaannya ayah memang akan keluar menunggang motosikal di sekitar kampung sahaja. Malah, pada hari kejadian dia juga tidak memakai topi keledar dan ada penduduk melihat ayah mengisi minyak berhampiran sebelum bergerak tanpa mengetahui arah tujuan.
“Sebulan lalu kejadian sama pernah berlaku namun ayah berjaya ditemui oleh penduduk di Kampung Parit Maimon dan menghantarnya pulang ke kediaman pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Juwahir, bapanya yang berbadan kurus setinggi kira-kira 1.5 meter dilaporkan keluar dari rumah dengan memakai baju melayu kurta berwarna hijau, berseluar panjang hitam dan berkupiah putih.
“Kami juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Parit Jawa, di sini pukul 10.56 malam selepas mendapati ayah tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.
“Pada masa sama, kami juga memohon bantuan orang ramai sekiranya terlihat kelibat ayah atau bertemu dengannya agar dapat menghubungi kami di talian 0177969166 atau menyerahkan ayah di mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya. -UTUSAN