Wanita rugi hampir RM24,000 ditipu sindiket pelaburan melalui Instagram - Utusan Malaysia

Wanita rugi hampir RM24,000 ditipu sindiket pelaburan melalui Instagram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang kerugian hampir RM24,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sosial Instagran.

Mangsa wanita berusia 26 tahun dari Kepala Batas di sini itu mula terjerat dengan penipuan tersebut awal bulan ini selepas tertarik dengan tawaran keuntungan tinggi dalam tempoh 48 jam dengan hanya bermodalkan RM500.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dikatakan telah ditawarkan pulangan wang sebanyak 20 kali ganda dalam tempoh tersebut.

“Dia yang berminat dengan konsep pulangan yang tinggi itu telah memasukkan sejumlah wang seperti diarahkan sindiket sehingga keseluruhannya berjumlah RM23,836.70,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang berurusan mangsa tidak pernah menandatangani sebarang dokumen perjanjian serta tidak pernah bersemuka dengan suspek.

Bagaimanapun, ujarnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek berterusan memintanya memasukkan sejumlah wang tambahan untuk pembayaran cukai syarikat.

“Mangsa yang mula sedar dengan taktik penipuan itu kemudiannya membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN