TAIPING: Selepas lebih 17 jam hilang setelah dihanyutkan kepala air semasa berkelah di Air Terjun Burmese Pool dekat sini semalam, mayat K. Kanagavalli, 45, berjaya ditemukan hari ini.
Mayat wanita itu ditemui pada pukul 9.10 pagi di kawasan Kuala Sepetang kira-kira 20 kilometer dari lokasi terakhir mangsa hilang dibawa arus deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, mangsa dijumpai terapung oleh nelayan tempatan di sungai berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pasukan polis yang berada di lokasi tersebut.
“Operasi mencari mangsa bermula semalam dengan melakukan pencarian di tebing sungai sebelum pencarian di permukaan diteruskan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Mangsa bagaimanapun dijumpai kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian oleh nelayan di kawasan Kuala Sepetang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa yang diserahkan kepada polis dihantar ke Hospital Taiping untuk pengesanan oleh waris.
“Seramai 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taiping menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama enam anggota polis, tujuh anggota PPDA dan 4 anggota unit K9,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang semalam, mangsa yang mandi di kawasan perkelahan berkenaan bersama keluarganya dihanyutkan arus deras dari kepala air yang muncul secara tiba-tiba.
Semasa kejadian, dua wanita berusia 47 dan 40 tahun yang berpaut pada dahan pokok dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun berjaya diselamatkan orang awam. -UTUSAN