KUBANG PASU: Angkara cemburu, seorang wanita yang merupakan ejen insurans ditemui mati dipercayai dibunuh kenalan lelakinya di sebuah rumah di Taman Mahsuri, Jitra di sini kelmarin.
Mangsa, Siti Nor Sufieza Md. Sharif, 23, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di ruang tamu rumah sewa oleh rakan serumah yang pulang daripada kerja kira-kira pukul 9.45 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian seorang wanita di taman perumahan tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam semalam.
“Pihak ambulans telah dihubungi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, rakan mangsa itu mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah kira-kira pukul 9.45 malam kelmarin.
Menurut Sapii, pemeriksaan menemui lebam pada badan mangsa dan tiada kecederaan atau kesan luka lain pada tubuhnya.
“Mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada barangan peribadi mangsa yang hilang dan keadaan rumah juga tidak berselerak,” ujarnya.
Katanya, rumah teres setingkat tersebut telah disewa dan didiami mangsa bersama dua rakannya hampir tiga tahun lalu.
Tambahnya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang merupakan kenalan mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, beliau berkata, suspek yang merupakan seorang peniaga pasar malam ditahan di rumahnya kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan. -UTUSAN