Van jenazah undang kekecohan - Utusan Malaysia

Van jenazah undang kekecohan

AKIBAT berang tanah digunakan sebagai laluan kenderaan berat, 11 pemilik tanah di Kampung Haji Manan bertindak meletakkan van jenazah di tengah jalan tanah mereka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG : Akibat berang tanah digunakan sebagai laluan kenderaan berat, 11 pemilik tanah di Kampung Haji Manan bertindak meletakkan van jenazah di tengah laluan yang merentasi kawasan tanah mereka hari ini.

Keadaan itu menimbulkan kecoh kepada para pengguna laluan itu sekali gus mengundang kehadiran polis untuk mententeramkan keadaan.

Salah seorang pemilik tanah, Nooriah Hussein, 60, berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian bagi menarik perhatian pihak berkuasa.

Katanya, ini kerana banyak aduan kepada pihak berwajib sama ada bertulis mahupun melalui peguam namun tidak mendapat jawapan memuaskan.

“Pada 1977 arwah mak saya memberi kebenaran tanahnya seluas 929.0304 meter persegi digunakan sebagai laluan kenderaan bagi kegunaan penduduk sekitar.

“Lama-kelamaan, kawasan ini membangun dan banyak projek perumahan baru dibina di kawasan sekitar.

“Isu pertambahan kenderaan berat termasuk lori treler ini mula terjadi pada 2018 yang menjadikannya jalan pintasan dari Kluang ke Nyior dan sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Jalan Haji Manan di sini hari ini.

Beliau berkata, tidak berniat meminta pampasan malah mahu laluan itu terus digunakan penduduk sekitar namun mahu ia terhad untuk kenderaan ringan dan pejalan kaki sahaja.

“Kami tiada masalah malah berfikir ini adalah pahala amal jariah untuk ahli keluarga kami tetapi kami mohon supaya pihak berkuasa memberi maklum balas sewajarnya mengenai isu kenderaan berat ini supaya tidak berlarutan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN