KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) menutup kampus induknya di Sintok dekat sini selama empat hari bermula tengah malam tadi bagi mengekang penularan Covid-19 daripada menjangkiti warga kampus dan masyarakat sekitar.
Surat pekeliling untuk kakitangan dan penuntut itu dikeluarkan Pendaftar UUM malam tadi memaklumkan penutupan institut pengajian tinggi awam itu berkuat kuasa pqda pukul 12 tengah malam tadi hingga 8 Oktober depan.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, tiada staf dibenarkan memasuki kampus induk UUM kecuali dengan kebenaran pendaftar.
“Penuntut tidak dibenarkan memasuki kampus kecuali dengan kebenaran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Penuntut yang telah berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar,” kata surat pekeliling itu.
Surat pekeliling itu turut menegaskan, mereka yang berada di Inasis Yayasan Al-Bukhary dilarang keluar dari kawasan tersebut.
“Inasis akan dikawal secara 24 jam oleh pihak keselamatan universiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE