UTHM tangguh pendaftaran pelajar - Utusan Malaysia

UTHM tangguh pendaftaran pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT : Semua pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diminta untuk menangguhkan pendaftaran atau kepulangan mereka ke kampus berikutan kes virus Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurut kenyataan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM, arahan itu selaras dengan nasihat dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini.

“Berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara, pihak kementerian telah mengeluarkan kenyataan bertarikh 2 Oktober 2020 yang mencadangkan penangguhan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka semua pelajar institut pengajian tinggi untuk kemasukan Oktober.

“Bagi pelajar baharu, pendaftaran pelajar akan diaktifkan secara automatik bermula 4 hingga 7 Oktober tertakluk pada surat tawaran pelajar. Mereka akan mengikuti Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) secara dalam talian dan maklumat berkaitan MTM akan disalurkan menerusi Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) fakulti masing-masing,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, semua sesi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) semua pelajar semester 1 2020/2021 akan dijalankan secara dalam talian sehingga diberitahu kelak.

“Sila berhubung dengan Unit Akademik Fakulti, pensyarah kursus atau penasihat akademik dan kerjaya (PAK) untuk sebarang kemusykilan.

“Bagi pelajar pasca siswazah (mod penyelidikan) yang berada di kampus dibenarkan untuk kekal bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan,” katanya.

Jelas kenyataan itu, pelajar yang telah hadir atau berada di kampus akan dibantu penempatannya dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. 

“Sekiranya pelajar mempunyai sebarang kemusykilan berhubung aspek penginapan, sila berhubung dengan pengetua kolej kediaman masing-masing.

 “UTHM amat prihatin mengenai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar,staf dan semua pihak yang terlibat. Justeru itu, pihak universiti juga memerlukan keprihatinan dan kepekaan semua pihak dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya