MELAKA: Rakyat perlu diberikan keutamaan untuk mengisi keperluan tenaga kerja merangkumi pelbagai sektor khususnya perladangan sebelum mempertimbangkan pemberian pas sementara kepada pekerja asing di negara ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat Kabinet dengan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Namun, ujar beliau, sekiranya keperluan tenaga kerja diperlukan tidak mencukupi, kerajaan sedia mempertimbang tawaran kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah berada dalam negara.
“Saya percaya Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melihat perkara itu, malah dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdahulu turut mengatakan keutamaan tentu sahaja diberikan kepada rakyat.
“Kalau tidak ada yang sanggup buat kerja di sektor ini barulah tawaran kepada pekerja-pekerja asing yang berada dalam negara ini dibuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.
Mengulas lanjut kata Ismail Sabri, perkara itu bagaimanapun akan diputuskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama dua kementerian terlibat sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan seterusnya.
Semalam, media melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pekerja warga asing yang telah menetap di Malaysia untuk terus bekerja bagi meningkatkan sektor perladangan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kaedah itu meliputi kumpulan pekerja asing yang telah tamat permit dan tidak mampu pulang ke negara asal berikutan penutupan pintu sempadan ketika ini.
Katanya, ia melibatkan pemberian pas pekerja sementara atau lesen melalui kaedah pemutihan mahupun pengampunan bertujuan menggunakan khidmat kumpulan itu. -UTUSAN ONLINE