Usul undi tidak percaya bukan keutamaan untuk dibahas  - Utusan Malaysia

Usul undi tidak percaya bukan keutamaan untuk dibahas 

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usul undi tidak percaya bukan menjadi keutamaan dalam sistem yang diamalkan Dewan Rakyat di negara ini. 

Menjelaskan perkara itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun berkata, sistem yang diguna pakai di negara adalah selaras dengan Australia yang tidak menjadikan perkara tersebut sebagai keutamaan. 

“Usul undi tidak percaya di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukan unik kepada sistem yang kita amalkan.

“Malah, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri.

“Ada pun saya ingin tekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada saya atau Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan saya kendalikan mengikut undang-undang sedia-ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas surat maklum balas kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Seri Tengku Razaleigh Ibrahim sebagai penjelasan mengapa usul undi tidak percaya yang dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad tidak dibahaskan dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 2 November ini.

Menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 25 September lalu, Tengku Razaleigh mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menolak usul yang sama untuk dibahaskan sebanyak dua kali.

Sehubungan itu, beliau meminta usul tersebut dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN