Unisza ditutup lagi, USIM saring staf - Utusan Malaysia

Unisza ditutup lagi, USIM saring staf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) ditutup lagi sehingga Khamis ini bagi membolehkan pihak Jawatankuasa Induk Covid-19 universiti itu menyelaras tindakan yang lebih komprehensif dalam usaha mengekang penularan pandemik tersebut. 

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, jawatan kuasa itu kini turut giat mengurus dan membantu keperluan mana-mana kakitangan universiti yang terjejas akibat Covid-19 di samping kalangan yang dikuarantinkan.

“Kita minta masyarakat setempat agar tidak membuat sebarang persepsi negatif dan sebarang andaian terhadap warga universiti ini dan berdoa keadaan terus terkawal dan kembali seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Penutupan itu bagi membolehkan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh dilaksanakan di ketiga-tiga kampus iaitu Gong Badak, Perubatan dan Besut susulan salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Selain Unizsa, premis lain yang turut ditutup di Terengganu ialah Wisma Darul Iman selama tiga hari sehingga Khamis, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dua pejabat agama di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu (sehari) dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) di Pusat Dagangan Terengganu sehingga Khamis.

Sementara itu, di NILAI, 77 staf Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalani saringan ujian calitan Covid-19 selepas dikenal pasti sebagai kumpulan kontak kedua dalam program yang melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri di universiti tersebut pada 2 Oktober lalu.

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan berkata, pihak universiti turut mengambil langkah mengarahkan staf dari beberapa jabatan yang terlibat di dalam program yang melibatkan Zukifli untuk melaksanakan kuarantin kendiri sehingga 19 Oktober.

Kenyataan tersebut menambahkan, buat masa ini, tiada keperluan untuk USIM menutup operasi kampusnya dengan hanya beberapa jabatan sahaja ditutup sementara sebagai langkah pencegahan.

Di JOHOR BAHRU, sebuah klinik swasta di Taman Daya di sini selepas dua pesakitnya didapati positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Aman Rabu berkata, penutupan klinik berkenaan berkuat kuasa serta merta sehingga proses sanitasi terhadap klinik itu dibuat.

“Ya betul, sudah disahkan Pegawai Kesihatan Johor Bahru. Pejabat Kesihatan daerah telah menasihati (untuk menutup klinik) dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. 

Hari ini, tular di laman sosial surat daripada pengurusan sebuah klinik yang memaklumkan tentang penutupan sementara operasi mereka. 

Penutupan selama seminggu itu bermula hari ini sehingga 14 Oktober depan dibuat ekoran dua pesakitnya yang dikesan positif Covid-19, semalam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya