ARAU : Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menangguhkan kemasukan penuntut baharu dan sedia ada dari Sabah atau mana-mana kawasan zon merah Covid-19 ke kampus tersebut berikutan situasi semasa pandemik itu yang semakin meruncing.
Malah, penuntut dari kawasan lain yang bergejala juga dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Unimap buat sementara waktu.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Unimap, Prof. Ir. Dr. Mohd. Rizal Arshad berkata, mereka yang setuju menerima tawaran mengikuti pengajian di Unimap akan didaftarkan oleh pegawai di unit kemasukan dan rekod pelajar pada 10 Oktober depan secara dalam talian.
Katanya, mereka yang pulang ke Unimap diwajibkan mengisi dan menghantar borang deklarasi kesihatan Covid-19 empat hari sebelum datang ke kampus melalui pautan http://www.coshe.my/health-declaration-form-student/. – UTUSAN ONLINE