BATU PAHAT : Seekor ular sawa yang kekenyangan selepas membaham babi berjaya ditangkap dalam satu kejadian di Kampung Parit Semo, Ayer Hitam di sini hari ini.
Ular sepanjang tujuh meter itu ditemukan oleh seorang penduduk kampung yang melihat haiwan berkenaan sedang kekenyangan di dalam sebuah parit di tepi jalan berhampiran rumahnya.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya telah menerima satu panggilan kecemasan yang memaklumkan penemuan haiwan reptilia itu.
“Sebuah jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pihak bomba mengambil masa lebih kurang tujuh minit untuk menangkap ular tersebut yang dianggarkan berat melebihi 100 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas jurucakap itu lagi, ular berkenaan berjaya ditangkap dan kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada lebih kurang 5.37 petang hari setelah selepas ular berkenaan berjaya ditangkap. -UTUSAN