UiTM tangguh temu janji konvokesyen 1 Disember  - Utusan Malaysia

UiTM tangguh temu janji konvokesyen 1 Disember 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 yang dijadualkan secara janji temu bulan depan ditangguhkan pada 1 Disember ini.

  Ketua Perhubungan Awam, Media, Protokol dan Pengurusan Acara Jabatan Komunikasinya, Nora Noordin berkata, penangguhan itu dibuat selepas meneliti keselamatan dan kebajikan semua warga universiti ekoran situasi terkini pandemik Covid-19.

“UiTM mengambil maklum dengan perkembangan terkini penularan pandemik itu berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan dan sidang akhbar Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Oleh demikian, pengurusan tertinggi memutuskan konvokesyen secara janji temu tersebut dilakukan pada tarikh baharu iaitu bermula pada 1 Disember hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bulan lalu, UiTM memaklumkan konvokesyen universiti berkenaan akan menggunakan norma baharu iaitu kaedah penganugerahan secara janji temu itu berlangsung selama dua bulan bermula 7 November hadapan.

Konvokesyen itu akan melibatkan 22,834 graduan diploma dan ijazah di 14 kampusnya seluruh negara selain sesi penganugerahan itu bergantung sepenuhnya kepada pemilihan lokasi kampus yang terletak berdekatan graduan tersebut.

Menerusi penganugerahan itu, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, menerima skrol serta transkrip seperti istiadat konvokesyen secara konvensional dengan gambar mereka akan disatukan dengan gambar penganugerah yang ditetapkan.

Tambah Nora, ekoran penangguhan itu, janji temu yang telah dibuat para graduan sebelum ini adalah terbatal dan tidak terpakai.

“Graduan diminta mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh baharu menerusi laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/.

“UiTM akan terus memantau perkembangan pandemik itu dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa. Sebarang kesulitan amat dikesali dan semua pihak terlibat diharap kekal tenang dan tabah dengan situasi yang dihadapi ketika ini,” katanya.

Graduan boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan maklumat terkini sesi penganugerahan itu atau menghubungi pegawai Bahagian Rekod Pelajar dan Konvokesyen melalui talian 03-55443110 atau 03-55443114.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya