KUALA LANGAT: Dalam memudahkan petugas barisan hadapan melakukan proses nyah cemar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif dengan mengedarkan cecair pembasmi kuman buatan pihaknya kepada empat penerima termasuk dua klinik kesihatan di daerah ini.
Empat penerima tersebut ialah Klinik Kesihatan Sijangkang, Klinik Kesihatan Teluk Panglima Garang, Sekolah Rendah Intergrasi Teras Islam Sijangkang dan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang Jalan Waja.
Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Prof.Dr.Nazip Suratman, sumbangan tersebut adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UiTM bertujuan memudahkan anggota barisan hadapan seperti kakitangan klinik melakukan proses nyah cemar secara kendiri.
“Pada hari ini, kita memberi sumbangan sebanyak 150 unit cecair pembasmi kuman. Ini adalah pembasmi kuman edisi 3.0.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini menyebabkan barisan hadapan perlu bekerja lebih keras untuk memastikan urusan pemeriksaan kesihatan orang ramai dapat diuruskan dengan sempurna,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pembasmi kuman kepada Klinik Kesihatan Sijangkang hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah Kuala Langat merangkap Pengerusi Klinik Kesihatan Sijangkang, Dr. Abdul Razak Khasbullah dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr. Wan Ahmad Azman Wan Abdul Salim.
Dalam pada itu, Nazip berkata, kesemua sumbangan itu yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tersebut dihasilkan dengan kerjasama fakulti-fakulti dalaman UiTM.
“Selain cecair pembasmi kuman yang dikeluarkan, kita juga bekerjasama dengan pihak swasta untuk menghasilkan pelindung muka plastik.
“Kita juga bekerjasama dengan pemain industri untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman secara komersial dengan kerjasama UiTM Pulau Pinang,”katanya. -UTUSAN