GUA MUSANG: Didorong oleh minat, seorang bapa di Kampung Jeram Tekoh di sini berjaya menghasilkan sebuah motosikal menggunakan bahan terbuang sebagai satu cara mencipta kelainan.
Mat Te Mat Sin, 52, berjaya menyiapkan motosikal yang diberi nama ‘Baber’ dalam tempoh sebulan.
Menurut Mat Te, idea itu tercetus kerana minatnya ketika mengikuti kursus di Pusat Giat Mara di Felda Chiku 5.
Katanya, hampir keseluruhan motosikal yang diubah suai menggunakan batang paip, besi, komponen basikal, tayar motosikal serta enjin motosikal Honda Cup 70.
“Saya mengeluarkan kos sebanyak RM2,000 untuk menghasilkan motosikal ini.
“Disebabkan minat saya tidak kisah berhabis wang ringgit dan tenaga kerana di situlah terhasil kepuasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Mat Te yang merupakan bapa kepada lima anak berkata, kerja-kerja memasang motosikal tersebut dibuat di Pusat Giat Mara kerana terdapat kelengkapan dan peralatan yang mencukupi.
Katanya, dia berbangga apabila motosikalnya itu menjadi tumpuan penduduk kampung yang ingin menunggangnya disebabkan keunikannya.
“Saya juga minat menyimpan motosikal antik yang usianya lebih tua daripada umur saya termasuk Honda Cup 50 yang harga sekarang bernilai ribuan ringgit.
“Ada yang menawarkan harga RM5,000 untuk membeli Baber dan sebuah motosikal lama tetapi saya tidak mahu menjualnya kerana semakin sukar mendapat motosikal model itu,” katanya.
Tambah Mat Te, terdapat juga penduduk kampung mahu memberi upah tinggi kepadanya untuk menghasilkan motosikal menggunakan bahan terbuang.
Walau bagaimanapun katanya, kekangan masa menyebabkan dia tidak mengambil tempahan buat masa ini.- UTUSAN ONLINE