KLANG: Tindakan seorang pemuda yang mengambil video memuji tindakan syarikat Ranhill SAJ menghantar bekalan air terus kepada rakyat Selangor hanya sekadar mahu mencari keadilan sosial bukannya memalukan mana-mana pihak.
Malah, Mohd.Azhar Osman,37, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Integrasi Nasional (PIN) berkata, ketiadaan bekalan air mentah lebih dari tiga kali tahun ini adalah sangat melampau kerana terlalu kerap.
“Saya tularkan video tersebut kerana menganggap tindakan Syarikat Ranhill SAJ amat terpuji. Walaupun mereka datang dari Johor tetapi mereka sanggup membantu rakyat Selangor yang tiada air.
“Itu yang saya ingin uar-uarkan supaya kerajaan negeri menyelesaikan masalah air dengan lebih menyeluruh. Mengapa meletakkan tangki air untuk orang awam jauh daripada rumah penduduk terutama ketika Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),”katanya kepada pemberita di Taman Klang Jaya hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Muhd.Ali Zakariah.
Tambah Mohd.Azhar, dia juga mencadangkan kerajaan negeri untuk memperbanyakkan pasukan petugas khas melibatkan penguatkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau aktiviti pencemaran air di seluruh kawasan longkang, parit dan sistem saliran di negeri ini.
“Tiada guna berbelanja besar membeli dron jika kemampuannya terhad pada waktu tertentu. Bolehkah dron memantau efluen yang dibuang semasa hujan lebat.
“Kerajaan negeri harus mengutamakan rakyat dalam segala tindakan, jangan pentingkan diri sendiri sementara rakyat menderita mengangkut air daripada pelbagai sumber,”katanya.
Sementara itu Muhd.Ali berkata, pihaknya berpendapat keranaan negerj sewajarnya membantu rakyat Selangor yang menghadapi masalah akibat PKPB bagi mengekang Covid-19 dan masalah bekalan air baru-baru ini.
“Ramai yang tutup kedai makan kerana bekalan air tiada, begitu juga peniaga tertentu yang mengeluh kerana PKPB untuk membendung pandemik Covid-19.
“Kerajaan negeri sewajarnya membantu rakyat akibat dua masalah ini dengan bantuan kewangan tambahan selain Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0,”jelasnya.
Terdahulu tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan lori tangki Ranhill SAJ yang menyalurkan bekalan air terus ke sebuah rumah di sekitar Taman Sri Andalas dan mempersoalkan lori tangki Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) yang boleh bertindak sedemikian rupa di rumah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berbanding rakyat negeri ini.
Berdasarkan video tersebut, sebanyak 12 lori tangki digerakkan ke sekitar Selangor bagi membantu penduduk yang terkesan akibat gangguan air tidak berjadual bermula Isnin lalu. -UTUSAN