Tukar minyak masak terpakai dengan sardin, susu pekat - Utusan Malaysia

Tukar minyak masak terpakai dengan sardin, susu pekat

NADZMAN Mustaffa (dua kanan) menunjukkan kad Recycle For Life pada majlis perasmian Kempen Pengurusan Minyak Masak Terpakai dan Pengurusan Sisa Makanan di Kulim, Kedah, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Penduduk di bandar ini berpeluang menukar minyak masak terpakai dengan barangan keperluan harian seperti sardin dan susu pekat.

Inisiatif menarik itu ditawarkan oleh Majlis Perbandaran Kulim  (MPK)  bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya tidak membuang minyak masak terpakai secara sesuka hati termasuk ke dalam longkang bagi menjaga alam sekitar.

Yang Dipertua MPK, Dr. Nadzman Mustaffa berkata, orang ramai boleh menukar minyak masak terpakai dengan barangan keperluan itu di pejabat E-Idaman  Sdn. Bhd.  (E-Idaman) cawangan Kulim di Jalan Bukit Kukus  di unit pengumpulan minyak masak terpakai bergerak.

“Saya mendapati ramai penduduk menjayakan program ini dan mereka gembira apabila dapat menukar minyak masak terpakai dengan sardin dan susu pekat.

“Program itu merupakan antara usaha yang dilakukan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai  bahawa minyak masak terpakai boleh dikitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Kempen Pengurusan Minyak Masak Terpakai dan Pengurusan Sisa Makanan di sini semalam.

Penduduk yang menjayakan program tersebut akan menerima kad Recycle For Life (RFL) yang dikeluarkan oleh pihak Syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. 

Beliau memberitahu, E-Idaman juga membeli minyak masak terpakai daripada orang ramai dengan harga RM1.20 sekilogram dalam bentuk nilai mata ganjaran.

“Nilai mata ganjaran itu juga melibatkan barangan kitar semula lain yang diserahkan kepada E-Idaman,” katanya lagi.

Selain itu, tambahnya, pada majlis perasmian kempen itu, pihak E-Idaman berjaya mengumpul kira-kira 250 kilogram minyak masak terpakai.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN