JOHOR BAHRU: Sebanyak tujuh premis di negeri ini didenda sejumlah RM17,500 di mahkamah pada tahun lalu kerana tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC).
Pengarah Bomba negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, premis tersebut membabitkan kilang, gudang dan hotel yang gagal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Beliau berkata, setiap bangunan wajib mempunyai sijil perakuan FC bagi memastikan premis diduduki memenuhi piawaian ditetapkan termasuk memiliki peralatan pencegahan kebakaran yang berfungsi dengan baik.
“Semua premis diwajibkan memiliki FC mengikut Seksyen 33 Akta Bomba di bawah sembilan kategori premis iaitu perpustakaan, hospital dan rumah rawatan, hotel, asrama, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan serta stor.
“Sekiranya premis gagal mendapatkan sijil FC dalam tempoh yang ditetapkan, premis boleh dikenakan denda mencecah RM50,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di sini hari ini.
Menurut Yahaya, tindakan kompaun dan pendakwaan di mahkamah akan dikenakan ke atas pemilik premis yang tidak memiliki FC kerana ingkar kepada notis munasabah yang diberikan.
“Sekiranya mereka tidak mempunyai bajet yang cukup, mereka boleh membuat rayuan dan permohonan dengan memberikan alasan munasabah. Kemudian kita akan bagi satu tempoh masa kepada mereka.
“Justeru, bomba berharap pengurusan premis mengambil inisiatif untuk membuat permohonan FC bagi memastikan bangunan yang diduduki selamat dan menepati ciri keselamatan ditetapkan JBPM,” ujarnya. -UTUSAN