IPOH: Masalah brek sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux menjadi punca kemalangan melibatkan 10 kenderaan di Jalan Raja Musa Aziz di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 11.50 pagi berhampiran persimpangan lampu isyarat itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan berlaku selepas Toyota Hilux dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan melanggar 10 kenderaan di lampu isyarat.
Katanya, kemalangan itu berlaku di jalan empat lorong satu arah.
“Punca kemalangan dipercayai akibat brek Toyota Hilux tidak berfungsi lalu gagal dikawal sebelum berlanggar dengan kenderaan lain yang sedang menunggu lampu isyarat.
“Semua 11 kenderaan terlibat hanya mengalami kerosakan dan tiada kecederaan pemandu dan penumpang,” katanya.
Menurut beliau, rakaman percakapan pemandu kenderaan yang terlibat telah diambil manakala pemandu Toyota Hilux dibawa ke hospital untuk mengambil darah bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkuta Jalan 1987,” katanya.