SHAH ALAM: Tourism Malaysia optimis jumlah pelancong domestik akan kekal konsisten biarpun statistik kes Covid-19 masih tidak menentu ketika ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Musa Yusof berkata, keyakinan itu berdasarkan peratusan kehadiran pengunjung di semua pusat pelancongan dan hotel di seluruh negara.
“Berdasarkan statistik yang diperoleh sehingga awal September ini, sebanyak 41 peratus pelancong domestik bercuti di destinasi pilihan mereka.
“Peratusan itu merangkumi jumlah keseluruhan pelancong yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen ‘Fuel Penuh Gaya-MyDebit Je dengan Kad ATM Anda’ di Seksyen U1 di sini hari ini.
Kempen anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Petron Malaysia dan Payments Network (PayNet) itu dilancarkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Petron Malaysia, Faridah Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.
Tambah Musa, pihaknya yakin pelancong tempatan matang untuk memilih destinasi percutian masing-masing ketika musim pandemik Covid-19.
“Biarpun jumlah kes berada pada tiga angka sejak kebelakangan ini, pelancong kita diyakini boleh memikirkan apa yang terbaik untuk mereka.
“Sebagai contoh, mereka tidak akan pergi ke lokaliti berisiko dan memilih untuk bercuti di destinasi lain,” katanya.
Sementara itu, Nancy dalam ucapannya berkata, kementeriannya turut optimis dalam memfokuskan strategi pelan pelancongan domestik dapat menjadi asas industri itu kembali cergas.
“Langkah itu dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat antara semua pihak dalam rantaian industri pelancongan dan kebudayaan.
“Kerjasama itu termasuk melibatkan kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemain industri dan masyarakat,” katanya. -UTUSAN ONLINE