Tokoh korporat diseru sumbang dalam portal Jom Infaq USIM - Utusan Malaysia

Tokoh korporat diseru sumbang dalam portal Jom Infaq USIM

ZULKIFLI Mohamad bersama Mohamed Ridza dan Mushaddad Hasbullah menyaksikan gimik pelancaran portal Jom Infaq pada majlis pelancaran di Galeri Canselori USIM, Nilai dekat sini semalam. -UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tokoh-tokoh korporat di negara ini diseru untuk turut sama menyumbang dalam portal Jom Infaq Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baru dilancarkan bagi meringankan beban dalam usaha universiti tersebut menjalankan tanggungjawab memberi impak dalam pendidikan tinggi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, menerusi portal tersebut sumbangan dapat diberikan dengan lebih mudah sekali gus mengukuhkan dana bagi USIM dalam melaksanakan projek-projek terutamanya berkaitan bantuan pendidikan kepada pelajar.

“Alhamdulillah, saya berasa teruja kerana banyak pihak yang menyumbang di mana sedikit sebanyak akan meringankan bebanan kewangan yang sepatutnya dapat diselesaikan. Dengan bantuan berterusan ia akan dapat memudahkan pelajar-pelajar dan USIM dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai salah satu universiti yang mampu dan memungkinkan untuk memberi impak yang baik kepada pendidikan tinggi di negara ini

“Saya juga menyeru kepada tokoh-tokoh korporat untuk sama-sama menyertai Jom Infaq yang mana cara Infaq cukup mudah iaitu melalui atas talian, pertukaran, pindahan duit terus kepada Jom Infaq untuk kita sama-sama bantu dan sokong usaha yang baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Portal Jom Infaq USIM di Galeri Canselori USIM, Nilai dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.

Portal Jom Infaq tersebut dilancarkan USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM merupakan portal pendanaan awam atau dikenali sebagai ‘crowdfunding’ bagi memperkasakan program atau projek infaq dan wakaf di Malaysia melalui teknologi digital.

Hasil cetusan idea Prof. Dr. Mohamed Ridza, ia telah dibina oleh Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM di bawah seliaan PWZ.

Merupakan projek berimpak tinggi USIM, portal Jom Infaq berkenaan menyediakan platform pendanaan awam bagi memudahkan masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada projek-projek kebajikan USIM.

Ia demi menjadikan USIM sebagai sebuah universiti berprestij dengan kemudahan-kemudahan pendidikan bertaraf dunia tanpa bergantung kepada dana kerajaan semata-mata.

Dalam pada itu, menurut Prof. Dr. Mohamed Ridza, portal Jom Infaq tersebut menempatkan projek-projek wakaf, infak dan endowmen universiti bagi memudahkan masyarakat menyumbang.

“Melalui platform ini juga, para penyumbang boleh melihat ketelusan pengagihan dan pengurusan dana setiap projek yang dipaparkan. Projek ini merupakan salah satu daripada dua projek besar USIM gerakkan pada tahun ini dan telah dijadikan sebagai salah satu daripada sasaran tahunan 2020 bagi merealisasikan Misi USIM 2022.

“Sebagai sebuah universiti awam, wakaf dan zakat haruslah menjadi sumber kewangan yang perlu diperkasakan. Untuk semua ini berlaku, kerjasama daripada organisasi-organisasi amatlah diperlukan bagi membantu USIM sebagai institusi awam yang menjuarai aspek wakaf dan zakat di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PWZ USIM, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah memberitahu, setakat ini terdapat enam projek yang telah dimasukkan di dalam portal Jom Infaq yang dikategori kepada tiga bahagian iaitu berkonsepkan wakaf, infaq dan endowmen.

“Semenjak portal ini dibuka kepada umum pada 15 Ogos lalu sehingga ke hari ini kita nampak ada peningkatan yang sangat positif yang mana kami merasakan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar-pelaja kita terutamanya yang disenaraikan di bawah paras B4 insya-Allah. 

“Ada projek-projek tertentu yang telah mencapai sasarannya sebagai contoh Tabung Covid-19 yang dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, kami mensasarkan sebanyak RM250,000 dan sehingga ke hari ini telah mencecah ke angka tersebut dan berjaya agihkan kepada pelajar-pelajar USIM termasuk pelajar antarabangsa,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN