KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini kini ditahan polis untuk siasatan lanjut melibatkan penipuan judi atas talian.
Difahamkan, ketiga-tiga individu itu terdiri daripada pegawai polis serta seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman suspek esok.
“Tangkapan ini bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian serta ‘calling centre’.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut sumber, sembilan suspek yang tamat tempoh reman SPRM sebelum ini ditahan polis bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, sumber berkata, ahli perniagaan bergelar Datuk Seri tidak ditahan sebelum dibebaskan.
“Kesemua mereka ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Turut ditahan, seorang ahli perniagaan bergelar
Datuk yang disyaki terlibat dengan penipuan Macau Scam serta judi atas talian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. – UTUSAN