Tiga sekolah ditutup akibat Covid-19 di Kedah - Utusan Malaysia

Tiga sekolah ditutup akibat Covid-19 di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tiga buah sekolah di negeri ini ditutup sementara selama tujuh hari bermula hari ini akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah terlibat.

Menurut Exco Pendidikan negeri, Datuk Najmi Ahmad, penutupan sementara itu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling di Baling dan SMK Bukit Payong serta Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau di Pokok Sena dekat sini.

“Penutupan sementara semua sekolah berkenaan bermula hari ini sehingga 17 Oktober dan perkara tersebut sudah dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan kepada sekolah berkenaan.

“Sehubungan itu, semua pelajar, guru serta anggota pelaksana sekolah berkenaan dikehendaki melakukan kuarantin di rumah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan jumlah pelajar dan guru di sekolah berkenaan yang disahkan positif Covid-19.

Jumlah keseluruhan pelajar di tiga buah sekolah yang ditutup itu dianggarkan seramai 1,754 orang.

Sementara itu, jumlah sekolah yang terdapat di Kedah ialah 750 buah yang melibatkan seramai 336,779 pelajar dan 30,717 guru.

Beliau menambah, setiap warga sekolah berkenaan boleh bekerja dari rumah selain memastikan pembelajaran pelajar masing-masing tidak ketinggalan melalui pembelajaran dan pemudahcaraan dilaksanakan secara atas talian sepanjang tempoh penutupan itu.

Kementerian Pendidikan semalam memaklumkan, mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 susulan trend peningkatan kes jangkitan wabak itu ketika ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN