Tiga kapal pindah minyak tanpa kebenaran ditahan - Utusan Malaysia

Tiga kapal pindah minyak tanpa kebenaran ditahan

KAPAL yang berjaya ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI : Cubaan tiga kapal melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan negara berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, tindakan diambil selepas Zon Maritim Tanjung Sedili menerima aduan daripada komuniti maritim setempat mengenai aktiviti yang mencurigakan di perairan Tanjung Sedili. 

Jelasnya kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Jaksa telah mengesan tiga kapal tersebut yang merapat antara satu sama lain di kedudukan 14 batu nautika Timur Tanjung Sedili Besar pada pukul 7.00 petang semalam.

“Kapal-kapal ditahan ini jenis Very Large Crude Carrier (VLCC), kapal tangki dan service atau supply boat. Pemeriksaan lanjut mendapati VLCC sedang memindahkan kargo minyak kepada sebuah kapal tangki. 

“Kedua kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran atas aktiviti yang dijalankan dan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran.

“Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Laut dan Seksyen 474 OPS 1952 kerana menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Hizam berkata, kes itu juga akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Katanya mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang Penjawat Awam ketika menjalankan tugas kerana enggan memberi kerjasama untuk pemeriksaan dijalankan.

“VLCC sepanjang 333 meter yang berdaftar di Comoros itu dikendalikan oleh 20 kru termasuk nakhoda merangkumi 19 lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan. 

“Kapal tangki pula didaftarkan di Labuan, Malaysia dikendalikan oleh 24 kru termasuk nakhoda dengan 15 lelaki warga India, lima lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki warga Rusia.  

“Manakala service boat yang berdaftar di Indonesia dikendalikan oleh lapan kru dan nakhoda yang kesemuanya lelaki warga Indonesia,” katanya lagi.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(L) dan Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952.

Beliau turut menegaskan Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin. 

“Para pengusaha dan ejen perkapalan khususnya di perairan Johor Timur, dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang demi kesejahteraan serantau.

“Maritim Malaysia juga amat menghargai kerjasama daripada Komuniti Nelayan Setempat dan berharap kerjasama akan diteruskan dari masa ke semasa. 

“Sebarang aduan jenayah maritim salurkan kepada Pusat  Operasi  Maritim Negeri Johor 072199404,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN