GEORGE TOWN: Seramai tiga banduan di Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, Seberang Perai Selatan dekat sini yang disahkan positif Covid-19 hari ini telah dikuarantin dan diasingkan.
Pengarah Penjara negeri, Roslan Mohamed berkata, siasatan lanjut masih dijalankan Kementerian Kesihatan berhubung penularan jangkitan virus itu di penjara berkenaan.
“Ada tiga kes banduan yang positif Covid-19 di Penjara Jawi Pulau Pinang hari ini dan mereka yang positif sudah diasingkan blok untuk rawatan.
“Maaf, saya tidak boleh menjawab soalan sama ada banduan terbabit merupakan kontak rapat dengan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang atau sebaliknya kerana saya tiada maklumat lagi mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu, proses sanitasi telah dilaksanakan termasuk di semua blok di penjara berkenaan sebelum ini.
Difahamkan, pihak kerajaan negeri menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengeluarkan memorandum kepada seluruh jabatan di negeri ini berhubung tindakan pencegahan awal bagi mengesan kontak rapat bagi kes positif Covid-19 di Pulau Pinang petang ini.
Memo yang dihantar menerusi emel itu bagi mengenal pasti maklumat pegawai dan kakitangan yang mempunyai pasangan yang bertugas di Penjara Jawi, menghantar anak kepada pengasuh di Kuarters Penjara Jawi atau ke Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) di penjara berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar hari ini memaklumkan Kluster Penjara Jawi merupakan kluster baharu di negeri ini selepas Kluster Penjara Reman Pulau Pinang. – UTUSAN ONLINE