Tiada PKP - PM - Utusan Malaysia

Tiada PKP – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes positif Covid-19 mencatatkan sebanyak 691 kes semalam, rekod tertinggi dalam sejarah penularan wabak berkenaan di negara ini.

Biarpun jumlah itu membimbangkan semua pihak, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi akan dilaksanakan di seluruh negara kerana ia boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

Beliau menjelaskan, apa  yang akan dilakukan kerajaan adalah melaksanakan Perintah Kawalan  Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) Bersasar di kawasan-kawasan yang  dikenal pasti mempunyai kes Covid-19 tinggi. 

Dengan ini, kata beliau, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain  yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan standard operasi prosedur (SOP) yang ketat dan  penguatkuasaan undang-undang yang tegas. 

“Saya percaya  kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan Covid-19 tanpa perlu menutup sektor-sektor ekonomi yang  pernah dilakukan sebelum ini.  

“Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa  jua keputusan yang diiambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta  rakyat yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan  hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook dari kediamannya, di sini semalam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang  turut merasai kebimbangan ibu bapa mengenai kehadiran anak-anak ke sekolah memberitahu, kerajaan hanya akan menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah iaitu di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau,  Lahad Datu, Kunak dan Semporna, Sabah. 

Pada masa sama, kata beliau, Kementerian Pendidikan sentiasa memantau keadaan kes Covid-19 di sekolah-sekolah di seluruh negara dan jika ada sebarang kes melibatkan warga sekolah,  kementerian akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam menanganinya. 

“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan  akan memaklumkan kepada kementerian langkah-langkah  yang perlu diambil bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru  dan kakitangan sekolah. 

“Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh  negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara  Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Perdana Menteri turut memberikan jaminan untuk memberi notis yang mencukupi kepada orang ramai sebelum sebarang keputusan dilaksanakan tertutama melibatkan sekatan pergerakan rentas  negeri supaya tidak ada yang terkandas. 

Katanya, begitu juga dengan perintah rentas negeri di negeri Sabah dengan  Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang akan berkuatkuasa mulai hari  esok ditunda kepada  mulai 12 Oktober hingga 25 Oktober.

Menurut beliau, langkah ini demi memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan dan mengelakkan ramai  penumpang yang bakal terkandas akibat kesuntukan masa membuat  perubahan kepada jadual perjalanan mereka. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya