Tiada belian panik di Melaka - Utusan Malaysia

Tiada belian panik di Melaka

TIADA pembelian panik di Melaka- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada aktiviti pembelian panik direkodkan di negeri ini biarpun terdapat dakwaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kemungkinan akan dilaksanakan semula dalam masa terdekat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya melalui Seksyen Penguatkuasa melaksanakan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sejak kebelakangan ini pertambahan kes positif Covid-19 telah menimbulkan kerisauan seluruh rakyat, malah ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat khasnya penduduk di Negeri Melaka.

 “Bagaimanapun, sehingga semalam, pihak KPDNHEP Melaka tidak menerima sebarang aduan berkaitan pembelian panik atau pun kekurangan bekalan makanan di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Norena, sejak 1 Januari hingga semalam, sebanyak 16,278 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang. 

Selain itu, sebanyak 741 aduan rasmi yang majoritinya berkaitan perihal harga diterima dengan 210 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM634,982.

Katanya lagi, sebanyak RM110,550 kompaun dan RM171,000 denda telah dikeluarkan meliputi semua kesalahan yang telah diambil tindakan.

 “KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. 

“Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa bersedia dan melaksanakan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut atau orang ramai yang ingin menyalurkan aduan, mereka boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal pukul 8 pagi hingga 6 petang atau menghubungi ECC Putrajaya yang beroperasi 24 jam setiap hari. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN