Tetap pergi kelab malam walaupun angka Covid-19 mencanak - Utusan Malaysia

Tetap pergi kelab malam walaupun angka Covid-19 mencanak

Mohd. Padzli Mohd. Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun jangkitan Covid-19 di negeri ini telah mencecah 20 kes, namun masih wujud segelintir orang ramai yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sehubungan itu, 27 pengunjung di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini ditahan dalam Ops Hiburan Bersepadu semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 10 malam itu, serbuan dijalankan sepasukan pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama sepasukan penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kesemua pengunjung berusia 24 hingga 50 tahun dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan dalam SOP PKPP.

“Hasil pemeriksaan terhadap pengunjung yang terdiri daripada 13 lelaki dan 14 wanita tempatan mendapati mereka leka berhibur tanpa menghiraukan sebarang penjarakan sosial.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai merupakan pengurus premis tersebut kerana telah gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohd. Padzli berkata, pihak penguat kuasa MBJB juga telah mengambil tindakan susulan dengan menyita dan merampas barang-barang di dalam premis berkenaan di atas sebab lesen perniagaan yang tidak sah.

Katanya, kesemua pengunjung termasuk seorang pengurus premis tersebut telah dibawa ke IPD Johor Selatan untuk dikeluarkan kompaun di bawah perkara 10 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dihukum dibawah peraturan 11(1) peraturan yang sama. 

“Setelah selesai urusan kompaun, kesemua OKK (Orang Kena Kompaun) telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

“Pihak polis IPD Johor Bahru Selatan menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan. Sebarang maklumat, orang ramai boleh hubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 072182323,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN