JOHOR BAHRU: Seorang peniaga terkejut apabila melihat seekor ular sawa tersembunyi di rak kasut di rumahnya di Taman Desa Skudai di sini hari ini.
Lelaki itu menyedari seekor ular sawa sepanjang 1.5 meter di rak tersebut sebaik selepas pulang daripada meniaga pada awal pagi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.23 pagi oleh mangsa yang memaklumkan penemuan haiwan replitia tersebut.
Katanya, dua jentera dengan kekuatan 11 anggota bomba kemudian dikejarkan ke lokasi sejurus panggilan kecemasan itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seekor ular sawa berada di dalam rak kasut di hadapan rumah berkenaan.
“Tindakan operasi menangkap ular tersebut dengan menggunakan penjerut binatang berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira lima minit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata jurucakap itu, ular tersebut kemudian dilepaskan di kawasan hutan yang jauh dari kawasan kediaman penduduk.
Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 7.32 pagi. – UTUSAN ONLINE