Temco Sungai Emas: Pemeriksaan pintu ke pintu kesan individu tidak buat saringan  - Utusan Malaysia

Temco Sungai Emas: Pemeriksaan pintu ke pintu kesan individu tidak buat saringan 

ANGGOTA tentera sedang berkawal di kawasan perumahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksana bermula tengah malam tadi sehingga 10 November di Flat Sungai Emas, Kuala Langat di sini hari ini.-UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Keengganan segelintir penduduk yang tidak mahu melakukan saringan Covid-19 menjadi punca berlakunya penyebaran wabak itu di kawasan Flat Sungai Emas dan perumahan teres Taman Sungai Emas di sini yang kini terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco).

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim berkata, oleh demikian, pihaknya akan melakukan pemeriksaan pintu ke pintu esok bagi mengesan individu yang masih belum melakukan saringan Covid-19.

Menurutnya, sebanyak 1,300 penduduk meliputi tujuh blok flat berkenaan dan taman perumahan teres tersebut melibatkan 338 pintu yang mana 99 peratus merupakan warga tempatan.

“Berdasarkan jumlah tersebut, kira-kira 200 individu masih belum melakukan ujian saringan Covid-19. Tindakan mereka ini yang tidak melakukan ujian saringan dan berlegar-legar memungkinkan berlakunya penyebaran Covid-19.

“Oleh demikian, sembilan pasukan akan melakukan pemeriksaan pintu ke pintu esok bagi memastikan semua penduduk melakukan ujian tersebut dan proses ini dijangka selesai pada hari yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Temco berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu, Temco di Flat Sungai Emas dan Jalan Emas 31 dan 32, Taman Sungai Emas di sini dengan keluasan 5.9 hektar telah dilaksanakan Temco sehingga 10 November hadapan bermula hari ini.

Pelaksanaan Temco berikutan Kluster Bah Manggis yang dikesan pada 5 Oktober lalu telah menyumbang kepada 65 kes positif iaitu 63 daripadanya di kesan di Kuala Langat yang mana 42 dikesan di kawasan flat tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Jusni yang juga merupakan Pegawai Daerah Kuala Langat berkata, pihaknya juga telah melakukan saringan kepada di 10 buah sekolah dan dua pra sekolah yang berdekatan dengan kluster tersebut dan mendapati dua daripada pelajar positif Covid-19.

Jelasnya,  pihaknya juga telah membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)  di dalam kawasan Temco yang akan beroperasi selama 24 jam sepanjang pelaksanaannya.

“Bagi memudahkan penduduk juga, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat juga menawarkan perkhidmatan pembelian secara dalam talian dan penghantaran terus kepada penduduk selain membuka kedai bergerak.

“Penduduk juga boleh membuat pembelian pesanan makanan dan keperluan harian tetapi penghantaran dan penyerahan hanya boleh dilakukan di pintu masuk utama sahaja.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang ingin menyalurkan bantuan digalakkan tetapi mereka perlu berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat terlebih dahulu,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya