Temco di Penjara Reman Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Temco di Penjara Reman Pulau Pinang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Penjara Reman Negeri Pulau Pinang dan Kuarters penjara itu di daerah Timur Laut, Pulau Pinang berkuat kuasa 15 Oktober ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dibuat berdasarkan peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Penjara Reman di penjara berkenaan dan Kuarters Penjara itu. 

Menurut beliau, pelaksanaan Temco itu membolehkan pergerakan keluar masuk di  kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 dilaksanakan. 

“Jumlah keseluruhan individu terlibat adalah seramai 2,830 orang merangkumi 2,306 banduan, 304 staf penjara dan keluarga yang  mendiami kuarters dan 220 staf penjara dan keluarga yang tidak  mendiami kuarters,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini semalam.

Menurutnya, antara tindakan yang akan diambil sepanjang pelaksanaan perintah itu ialah pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan selain  pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang  dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Makanan dan keperluan asas akan disalurkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Timur Laut.  Tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh Temco ini bakal diasingkan daripada tahanan yang lain. 

“Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, tahanan kemudiannya akan dikuarantin di tempat yang bakal ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pulau Pinang  sebelum dibebaskan. 

“Tahanan yang positif akan dirawat di hospital sebagai orang awam  selepas tarikh pembebasan mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 446 individu atas kesalahan ingkar arahan  Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan daripada jumlah itu, seramai 407 individu telah dikompaun, 37 individu pula direman dan dua dijamin.

Katanya, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (212), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (85), penjarakan fizikal (72), parti persendirian (32) dan aktiviti perjudian (23).

Beliau memberitahu, Operasi Benteng pula  telah berjaya menahan 84 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tekong serta berjaya merampas 10 kenderaan darat melalui 136 sekatan jalan raya. 

“Sehingga semalam, seramai 47,068 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan  antarabangsa dan daripada jumlah itu, seramai 9,524 individu sedang menjalani  kuarantin wajib di 68 hotel dan 17 premis lain. 

“381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 37,163 individu telah di dibenarkan pulang ke  rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN