SHAH ALAM: Telaga Rakyat Anak Jati Jalan Kebun di sini menjadi tumpuan penduduk setempat yang mengambil air bagi kegunaan isi rumah.
Menurut pemilik tanah di lokasi telaga rakyat tersebut, Faizal Shahroni,40, sejak gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku semalam, ia menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk setempat tetapi masyarakat luar dari Kota Kemuning turut datang mengambil air di situ..
“Telaga ini dibina bertujuan membantu penduduk setempat dan yang tinggal di kawasan berhampiran mengambil air sekiranya memerlukan. Alhamdulillah, saya berasa terharu kerana dapat membantu orang ramai yang keputusan bekalan air.
“Ia banyak memberi banyak manfaat kepada penduduk apabila berlaku masalah gangguan di kawasan ini. Sejak semalam, lebih daripada 100 individu datang mengambil air dan ada yang sanggup datang sejauh 10 kilometer.
“Sesiapa sahaja boleh mengambil air tanpa sebarang bayaran pada bila-bila masa,” katanya di Telaga Rakyat Anak Jati di Jalan Kebun hari ini.
Sementara itu seorang peniaga dari Berjaya Park, Fauzi Jumri,40, sebagai peniaga warung dia perlu mendapatkan air bagi menguruskan perniagaan.
“Saya bersyukur kerana dengan adanya telaga ini dapat meneruskan perniagaan. Alhamdullillah air telaga di sini bersih dan selamat digunakan kerana telah beberapa kali mengambil air di sini.
“Kerajaan negeri jangan lepas tangan dan sekiranya berlakunya masalah seperti ini, perbanyakkan lori tangki untuk memudahkan rakyat mendapatkan air,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE