SEREMBAN: Taman Tasik Seremban yang menjadi antara lokasi pilihan buat penduduk di daerah ini untuk beriadah kini ditambah daya tarikannya menerusi kemudahan aktiviti rekreasi air.
Inisiatif itu diambil pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengambil kira taman tasik itu yang menjadi salah satu produk pelancongan Negeri Sembilan dan mengambil kira ia sering dikunjungi orang ramai.
Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehudin berkata, Taman Tasik Seremban dijenamakan semula dengan penyediaan kemudahan aktiviti rekreasi air sebagai daya tarikan baharu selain menghidupkan semula taman berkenaan.
“Selain bersenam atau beriadah, orang ramai boleh meluangkan masa bersama keluarga mencuba aktiviti air seperti menaiki bot, mengayuh bot basikal atau berkayak di Taman Rekreasi Air Seremban di taman tasik ini.
“Pihak MBS memang berhasrat menghidupkan semula Taman Tasik Seremban melalui pelbagai aktiviti dan kemudahan terbaharu seperti aktiviti rekreasi air dan persembahan artis pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui pada Program Pembukaan Taman Rekreasi Air Seremban @ Taman Tasik Seremban di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Abdul Malik.
Aktiviti rekreasi air di Taman Tasik Seremban dibuka kepada orang ramai bermula 3 Oktober 2020 dengan waktu operasi dari pukul 2 petang hingga 7 malam pada setiap hari Isnin hingga Jumaat manakala pada hujung minggu bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam.
Sempena promosi pembukaan, pihak penganjur juga menawarkan diskaun 50 peratus bagi semua permainan air selama 20 minit bermula 3 Oktober hingga 3 November 2020.
Sementara itu, menurut Zazali, sambutan yang diterima pada hari pertama pembukaan aktiviti rekreasi air sangat menggalakkan dan pihaknya menyasarkan pertambahan bilangan pengunjung walaupun negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Pihak kami sentiasa mangamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) walaupun dalam keadaan Covid-19 ini kerana keselamatan merupakan perkara yang diberi keutamaan,” katanya. -UTUSAN