IPOH: Tindakan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan keputusan mengisytihar darurat menunjukkan istana boleh memainkan peranan semak dan imbang atau check and balances dengan baik.
Pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ia juga menunjukkan raja bukan cop getah bagi kerajaan yang ada.
Menurutnya, tindakan Yang di-Pertuan Agong itu akan memperkukuh hujah bahawa kerajaan tidak boleh isytihar darurat sesuka hati.
“Di sini kelebihan sistem beraja, ia boleh menghalang sesuatu tanpa perlu berkata apa-apa.
“Diam atau tidak berbuat apa-apa sudah memadai, ini kelebihan dan kekuatan sistem monarki berbanding republik,” katanya menerusi pesanan aplikasi Whatsapp.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak percaya, pilihan yang diambil itu pasti akan menyukarkan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya tidak nampak selepas ini darurat akan diisytiharkan,” katanya.
Abdul Aziz mempersoalkan mengapa perlu diisytihar darurat, yang pernah menyaksikan perintah darurat disalah gunakan.
Menurutnya, hanya mereka yang buta sejarah dan naïf politik sahaja membangkitkan keperluan itu.
“Dalam perisytiharan darurat, ahli politik yang berkepentingan akan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pelbagai perkara yang menyalahi perlembagaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE