JERANTUT: Pengusaha-pengusaha pelancongan Taman Negara Kuala Tahan di sini dapat menarik nafas lega apabila pusat pelancongan semula jadi berkenaan dibuka semula mulai esok.
Berdasarkan kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kemudahan awam berkenaan dibuka untuk pelancong domestik dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menerusi SOP tambahan MKN itu sekatan dikenakan terhadap pengunjung dari negeri atau kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memasuki Taman Negara Pahang.
“Hanya pelawat yang berusia antara 12 tahun hingga 60 tahun sahaja dibenarkan masuk dan boleh menggunakan kemudahan awam di Taman Negara bagi tujuan rekreasi dan riadah.
“Bagi aktiviti mendaki Gunung Tahan dari Kuala Tahan (Jerantut) dan Sungai Relau, Merapoh (Lipis) cuma dibenarkan untuk 20 pendaki sahaja dan maksimum bagi setiap kumpulan pendaki cuma 10 orang tidak termasuk malim gunung,” kata kenyataan berkenaan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Perhilitan.
Menurut kenyataan itu, aktiviti pengangkutan bot penambang di Taman Negara yang berkapasiti muatan empat dan enam orang penumpang perlu mematuhi penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka dan etika keselamatan tertentu.
“Titian kanopi mula dibuka dengan mengehadkan seramai 160 orang sahaja pengunjung dan ditutup pada hari Rabu manakala pelawat diminta mematuhi penjarakan fizikal ketika menunggu giliran termasuk aktiviti rekreasi dan riadah lain,” kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu juga menyebut, menerusi SOP tambahan, aktiviti ‘night walk’ dan pemerhatian haiwan liar di Bumbung masih ditangguhkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.
Arahan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan oleh Perhilitan pada 6 Oktober lalu merupakan kali kedua selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac berikutan penularan pandemik Covid-19.
Penutupan Taman Negara Kuala Tahan berkenaan yang menyimpan khazanah hutan tropika berusia lebih 130 tahun itu menyebabkan pengusaha dan penggiat pelancongan terbeban selepas hilang punca pendapatan.
Susulan itu juga, memorandum bantahan penutupan sementara taman itu yang ditandatangani sembilan wakil persatuan pengusaha, penggiat dan penggerak ekopelancongan Taman Negara dihantar kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, kerajaan negeri, Perhilitan, wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan pada 19 Oktober lalu. -UTUSAN