KOTA BHARU: “Desakan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan adalah tidak berasas sama sekali, ” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Malah, katanya daripada sudut kepimpinan, Muhyiddin dan penerimaan rakyat adalah begitu tinggi.
“Rakyat di Malaysia adalah melebihi 30 juta dan apa yang kita dengar dalam media sosial dan media arus perdana cuma ada tiga dan empat orang yang sebut Perdana Menteri harus berhenti.
“Adakah patut kita mendengar suara mereka, berbanding melebihi 80 peratus penerimaan rakyat terhadap Muhyiddin?, ” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan selama satu jam dengan
bertanya khabar penduduk setinggan seramai 15 keluarga yang tinggal di Kampung Sri Cemerlang, di sini, hari ini.
Mohamed Farid berkata, tindakan mendesak tidak masuk akal dan juga lebih menjurus kepada kepentingan peribadi.
Bagaimanapun, katanya, hasil mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memutuskan parti itu tetap menyokong Muhyiddin.
Ketika ditanya mengenai UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15) dilaksanakan selepas pandemik Covid-19 reda, beliau berkata, kenyataan itu tidak terlalu negatif dan pandangan Bersatu juga selari.
“Cuma, kita tidak pasti pandemik ini reda bila sama ada enam atau 12 bulan dan dalam keadaan sekarang, masih menangani isu Covid-19 dan jika masa sesuai nanti, PRU-15 tetap dilaksanakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE