PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan berita tular mengenai cadangan pelantikan seorang profesional bukan Islam sebagai pengurus besar sebuah hotel milik Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).
Timbalan Menterinya, Ahmad Marzuk Shaary berkata, hasil semakan pihaknya mendapati memo tular yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Ekeskutif Tabung Haji, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff itu adalah cadangan lantikan daripada pihak pengurusan tertinggi yang dibawa kepada mesyuarat lembaga pengarah bagi mendapatkan kelulusan.
Jelasnya, cadangan yang dikemukakan oleh Nik Mohd. Hasyudeen itu tidak pernah mendapat penglibatan atau dibawa ke sebarang perbincangan bersama pihak pejabat menteri atau pejabatnya sebelum dikemukakan kepada lembaga pengarah.
“Bagaimanapun, cadangan tersebut ditolak oleh Lembaga Pengarah Tabung Haji semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 1 Oktober lalu. Dengan penolakan itu tidak berbangkit soal pelantikannya dan saya ingin menjelaskan secara tuntas dan muktamad tidak berlaku lantikan pengurus besar bukan Islam tersebut sebagaimana dakwaan atau kegusaran sesetengah pihak.
“Saya ingin memaklumkan pihak pengurusan Tabung Haji diarahkan mengemukakan semula cadangan calon pengurus besar hotel baharu beragama Islam supaya lebih sesuai dan menepati visi serta roh institusi pelaburan kebanggaan umat Islam ini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau malah menghargai segala pandangan masyarakat serta sentimen tentang isu tersebut dan setiap agensi di bawah kementeriannya khususnya berkaitan pengurusan Tabung Haji diingatkan sentiasa lebih peka dengan segala tindakan yang boleh mengundang kerisauan dan keresahan rakyat.
“Saya memberikan jaminan keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional hari ini bukan sahaja bagi memulihkan prestasi kewangan Tabung Haji bahkan memastikan segala urus tadbir melibatkan institusi ini terjamin daripada sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam,” katanya. -UTUSAN