Syukur, Kaabah depan mata - Utusan Malaysia

Syukur, Kaabah depan mata

AHMAD Najhan Hassim bersyukur kerana dapat menunaikan umrah pada waktu peningkatan Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahmad Najhan Hassim, rakyat Malaysia yang kini menetap di Arab Saudi, melahirkan rasa syukur kerana akhirnya, selepas berbulan-bulan ‘dilarang’ memasuki Tanah Suci, Kaabah berada di depan matanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, suasana umrah sememangnya berbeza, lebih selesa kerana berlaku penjarakan fizikal.

Biarpun hanya dibenarkan menunaikan umrah dalam masa tiga jam, bagi Ahmad Najhan, itu satu pengalaman umrah paling berharga.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat sekali lagi menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Suasana umrah nyata sangat berbeza dengan kebiasaan baharu berikutan pandemik Covid-19,” katanya.

Ahmad Najhan, 29, yang berasal dari Gombak, Selangor menetap hampir tiga tahun di Arab Saudi.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai pemerintah Arab Saudi amat ketat yang mana masa yang diberikan kepada jemaah dipantau menggunakan aplikasi telefon pintar, sama seperti MySejahtera di Malaysia.

Tambahnya, jemaah juga dilarang sama sekali daripada menyentuh Kaabah dan batu Hajar Aswad.

“Perbezaan sangat ketara, kalau dulu jemaah bersesak-sesak melakukan umrah tetapi umrah kebiasaan baharu ini lebih teratur.

“Penjarakan sosial sangat terjaga dan SOP yang diamalkan di sini sangat ketat. Ini bukan kali pertama saya menunaikan umrah, apa yang boleh saya katakan umrah kebiasaan baharu ini sangat selesa,” katanya yang berkhidmat sebagai jururawat di King Faisal Specialist Hospital, Jeddah.

Bercakap mengenai air zam-zam, pastinya menjadi ole-ole wajib bagi setiap jemaah untuk dibawa pulang ke tanah air.

Ahmad Najhan berkata, ekoran Covid-19, jemaah tidak dibenarkan mengambil sendiri air zam-zam sebaliknya terdapat kaunter khas dibuka untuk tujuan itu.

“Kalau sebelumnya, kita boleh ambil air zam-zam pada bila-bila masa yang kita mahu. Tapi sekarang untuk elak daripada sentuhan secara langsung, kerajaan Arab Saudi hanya bekalkan dalam botol kecil,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya