KLUANG : Suri rumah maut manakala suaminya patah bahu kanan selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh babi dalam kemalangan di Jalan Padang Tembak di sini semalam.
Mangsa, Mazlan Md. Noh, 45, dan isterinya allahyarhamah Ruzita Kadiron, 43, ketika kejadian dalam perjalanan ke Batu 4 di sini bagi berbelanja barangan keperluan dapur kira-kira pukul 8.10 malam.
“Saya terbabit kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam. Sebaik melalui satu bukit kecil dan melepaskan minyak tetapi tidak semena-mena saya dirempuh binatang berkenaan dari sebelah.
“Saya langsung tak perasan kelibat binatang itu. Akibat kejadian saya terjatuh dan terduduk di situ serta melihat binatang itu menggelupur di tepi jalan.
“Kemudian ada orang dari kedai berhampiran segera datang membantu dan sebaik ambulans tiba saya terus dibawa menaikinya dan dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Kahang Barat di sini hari ini.
Mazlan yang bekerja sebagai mekanik bengkel di sebuah kilang berkata, tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa isterinya yang juga suri rumah.
Katanya, isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap menjelang saat akhir hidupnya dan dia redha dengan ketentuan walaupun ralat tidak dapat turut sama solat dan mengebumikan isterinya itu.
“Ikutkan memang selalu jika keluar berbelanja saya dan isteri biasa menaiki motosikal. Saya sendiri tanya arwah hendak naik motor atau kereta arwah kata naik motosikal sahaja.
“Selepas ini saya kena teruskan hidup bersama empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan yang berusia dari 24 hingga 14 tahun,” katanya.
Jenazah Ruzita selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Kahang Barat selepas Zuhur hari ini.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mengesahkan kemalangan itu yang melibatkan sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri dan binatang berkenaan. – UTUSAN ONLINE