Sultan Selangor dukacita nasib rakyat bergelut Covid-19, gangguan bekalan air - Utusan Malaysia

Sultan Selangor dukacita nasib rakyat bergelut Covid-19, gangguan bekalan air

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan keluhan dan nasib rakyat yang kini bukan sahaja bergelut dengan wabak Covid-19, bahkan berhadapan masalah gangguan bekalan air.

Malah, Sultan Selangor turut menzahirkan bahawa surat diberikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tidak memberi kesan kerana masalah sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat baginda.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda telah banyak kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan negeri berhubung isu bekalan air sejak 2010.

Menurut Muhamad Munir, surat ditulis baginda adalah supaya masalah air jangan dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

“Surat baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor pada 8 September lalu. Dalam surat tersebut, baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih.

“Tetapi nampaknya tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang baginda kasihi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Munir berkata, Sultan Sharafudin turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif di Selangor khususnya dan di Malaysia yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac 2020.

Katanya, baginda menegaskan fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak Covid-19.

“Baginda menyeru rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Nasional.

“Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19. 

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak dan hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam.

“Baginda meminta individu-individu yang pernah pergi ke lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah hendaklah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN