JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan barangan keperluan makanan kepada 328 penduduk sekitar kawasan Kangkar Pulai dan Skudai di sini hari ini.
Kurniaan itu yang disalurkan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) yang disampaikan oleh wakil Baginda, Mejar Cina David Wong Khoong Soon.
Dalam pada itu, para penerima melahirkan perasaan gembira dan menjunjung kasih di atas bantuan kurniaan Sultan Ibrahim yang disampaikan secara berterusan di pelbagai daerah di seluruh negeri ini.
Seorang warga emas, Vijaya Devi, 70, amat menghargai bantuan yang diterimanya di saat masyarakat India akan menyambut Deepavali pada bulan hadapan.
“Saya menyara hidup dengan menjual bunga di tepi jalan. Bantuan makanan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya, malah baru-baru ini selepas kehilangan cucu tunggal.
“Ingin diucapkan ribuan terima kasih kepada Sultan Johor kerana Baginda tidak pernah lupa golongan memerlukan,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).
Perasaan syukur turut dikongsi seorang lagi penerima, Maria Kosmas, 45, yang amat terharu dengan sumbangan oleh Sultan Ibrahim.
“Suami saya juga tidak mempunyai sebarang pendapatan sejak tiga bulan lalu, selepas berhenti kerja dan kami mempunyai tanggungan enam orang anak.
“Syukur bantuan ini sungguh bermakna kepada kami sekeluarga dan Tuanku sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat,” katanya.
Seorang wakil daripada masyarakat India, V.Kumaran kemudian menyampaikan kalungan bunga dan kain sutera kepada Khoong Soon sebagai tanda penghargaan kepada Sultan Johor di atas kurniaan berkenaan bersempena sambutan Deepavali tidak lama lagi. -UTUSAN