Sokongan jitu kepada Muhyiddin - Utusan Malaysia

Sokongan jitu kepada Muhyiddin

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua ahli Parlimen daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta rakan kongsi politik lain seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menzahirkan sokongan padu terhadap kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. 

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sokongan itu sekali gus melambangkan bahawa semua parti politik yang menyokong kerajaan PN bersama-sama dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi ketika ini.

Katanya, ia sekali gus menolak sebarang cubaan oleh mana-mana pihak kononnya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. 

“Tatkala penularan wabak Covid-19 ini masih berleluasa di seluruh dunia, kerajaan PN memberikan tumpuan penuh untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh rakyat. 

“PN menyeru kepada semua rakyat untuk terus bersatu hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjagaan kesihatan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan bagi bersama-sama mengulangi kejayaan untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau telah diperkenankan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada esok bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan pada 23 September lalu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendakwa sokongan berkenaan terdiri daripada pelbagai parti termasuk yang menyokong kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah sebenar yang menyokongnya.

Sementara itu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut menyatakan sokongan sama terhadap Muhyiddin yang diyakini menerajui kerajaan ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pendirian itu tidak perlu lagi dipersoalkan demi mengalih sokongan kepada orang yang bercita-cita dan bermimpi untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. 

Dalam usaha Anwar untuk menarik sokongan ahli Parlimen dari pihak kerajaan semata-mata demi mencapai matlamat politiknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu sedar bahawa beliau telah merosakkan kredibilitinya sendiri di mata rakyat.

Oleh itu, katanya, adalah lebih baik Anwar menumpukan tugas dan tanggungjawabnya kepada rakyat di kawasan Parlimen yang diwakilinya sebagai membantu pemerintah dan rakyat memerangi musuh yang tidak kelihatan, pandemik Covid-19.

“Anwar sepatutnya membantu kerajaan memulihkan ekonomi ketika kebanyakan rakyat terjejas teruk oleh tragedi ini.

“Peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 terutama di Sabah dan penyebarannya oleh pelancong dari negeri itu telah menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat umum. Rakyat tidak boleh terganggu dengan tindakan terdesak Anwar ini untuk membantu memutuskan rantaian jangkitan wabak ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN