Situasi Covid-19 di Sabah tidak kritikal - Utusan Malaysia

Situasi Covid-19 di Sabah tidak kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan masih berupaya mengendalikan situasi Covid-19 di Sabah dengan segala peralatan perubatan, petugas kesihatan dan jumlah katil yang mencukupi untuk menampung jumlah pesakit wabak itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon berkata, pada masa ini terdapat 25 hospital kementerian itu  di negeri berkenaan dengan jumlah kapasiti 4,686 katil dengan sembilan hospital daripadanya telah beroperasi sebagai Hospital Hybrid Covid-19. 

Menurut  beliau, Hospital Hybrid itu merawat semua jenis pesakit termasuk pesakit bukan Covid-19 yang mengkhususkan sebanyak 1,264 katil untuk rawatan pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan setakat ini sebanyak 59 peratus. 

Beliau menjelaskan, bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan menangani peningkatan kes pesakit Covid-19, kementerian turut menyediakan katil tambahan menerusi pengwujudan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri berkenaan.

“Sehingga kini terdapat 27 PKRC yang sedang beroperasi dengan kapasiti katil sebanyak 7,242 dan kadar penggunaannya adalah 41 peratus. 

“Dengan ini, bilangan keseluruhan katil untuk rawatan pesakit Covid-19 di hospital dan PKRC di Sabah adalah sebanyak 8,506 dengan kadar penggunaannya sebanyak 43 peratus. Justeru, kementerian mempunyai kapasiti katil Covid-19 yang mencukupi sekiranya terdapat peningkatan kes,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Rohaizat turut memberitahu, kementerian juga sedang menyediakan tambahan enam lagi PKRC sebagai inisiatif proaktif kesiapsiagaan berdasarkan tren peningkatan bilangan kes Covid-19 yang baharu di negeri itu. 

Susulan kadar penggunaan katil yang agak tinggi di Hospital Likas, katanya, empat PKRC telah pun disediakan dengan kapasiti sebanyak 433 katil dan tambahan dua lagi PKRC dengan kapasiti 350 katil akan disediakan untuk membantu hospital tersebut.

Selain itu, jelas beliau, peruntukan juga telah disediakan untuk Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu bagi pembinaan ICU tambahan dan juga menaik taraf kemudahan ICU sedia ada termasuk pembelian peralatan perubatan kritikal seperti ventilator, katil pesakit dan patient monitors. 

“Hospital Duchess of Kent, Sandakan juga turut mendapat peruntukan untuk pembinaan ICU tambahan.

“Memandangkan perkhidmatan makmal adalah penting, maka peruntukan bagi penyediaan makmal Jabatan Patologi Hospital Tawau dan Hospital Lahad Datu di samping naik taraf makmal HQE juga turut diberikan,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, sejumlah 288 jururawat terlatih digerakkan untuk bertugas di HQE dan daripada jumlah ini seramai 88 mempunyai post basic rawatan rapi.

Selain itu, katanya, HQE telah menyusun semula fungsi wad-wad di hospital itu selain anggota-anggota kesihatan pelbagai kategori dari luar negeri telah dihantar untuk membantu hospital-hospital dan daerah yang mempunyai bebanan kerja tinggi.

“Kementerian juga menyalurkan peruntukan untuk pembelian peralatan perubatan, alat pelindung diri (PPE), ubat-ubatan, renovasi wad, renovasi makmal di Hospital Tawau dan Klinik Kesihatan Tawau dan makmal modular di Hospital Lahad Datu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya