Sindiket bekal dadah parti liar tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket bekal dadah parti liar tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di negeri ini selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Kilang Tebu di sini, Ahad lalu.

Sebahagian dadah tersebut disyaki dibekalkan kepada penganjur parti-parti liar di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Ashar berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah dan menahan dua lelaki warga tempatan berusia 24 dan 56 tahun kira-kira pukul 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah bilik di rumah tersebut, kita menemukan 2,400 biji pil Erimin 5,367.4 gram ketamin, 82.21 gram pil ekstasi dan 639.5 gram lagi belum dikenal pasti jenis dadah terlibat di dalam beg kertas.

“Kesemua rampasan dadah yang sebahagiannya dibungkus dalam pek berwarna-warni itu dianggarkan bernilai RM100,000,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM5,030 dan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Menurut Mohd. Zaki, siasatan mendapati dadah sintetik yang dirampas adalah bernilai tinggi dan biasanya digunakan di pusat-pusat hiburan.

“Bagaimanapun, pusat hiburan kini ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita mengesyaki bekalan dadah itu adalah untuk diedarkan di parti-parti persendirian,” katanya.

Jelasnya, suspek berusia 24 tahun yang bekerja sebagai buruh disyaki berperanan sebagai tokan dadah yang mana bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur.

“Kedua-dua mereka yang positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan tipu direman selama enam hari bermula semalam dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis sedang memburu seorang lagi suspek disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.

Mohd. Zaki pada masa sama meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui tentang penganjuran sebarang parti liar di negeri ini untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Zaki memberitahu, seramai 1,005 anggota, pegawai dan kakitangan Polis Diraja Malaysia di negeri ini telah menjalani ujian air kencing bermula 10 September lalu.

“Daripada jumlah itu, empat anggota berusia lingkungan 30-an didapati positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN