KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menerima menghadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertitah menasihati beliau supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, dalam sesi selama lebih kurang 25 minit itu, Anwar hanya mengemukakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.
Bagaimanapun katanya, Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli Parlimen terbabit untuk mengukuhkan dakwaan yang dibuat sebelum ini.
“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit, Anwar telah mengemukakan jumlah ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.
“Beliau tidak mengemukakan senarai nama untuk mengukuhkan dakwaan tersebut. Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah menasihati Anwar akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pagi tadi Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Pertemuan itu berakhir pada pukul 11.30 pagi tanpa sebarang makluman dari Anwar dan beliau hanya melambai tangan kepada pihak media.
Pertemuan tersebut juga difahamkan bagi menyatakan sokongan yang beliau terima daripada ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu. – UTUSAN ONLINE