Seri Paduka, Raja-raja Melayu perhalusi cadangan PM - Utusan Malaysia

Seri Paduka, Raja-raja Melayu perhalusi cadangan PM

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada pukul 5 petang semalam.

Sesi menghadap itu telah dimohon Perdana Menteri susulan daripada mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya pagi semalam.

Ahmad Fadil berkata, dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Yang di-Pertuan Agong telah berkenaan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh mesyuarat khas Kabinet untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

“Adalah dimaklumkan Seri Paduka amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman Covid-19. Malah, Seri Paduka turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini itu.

“Oleh yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Seri Paduka telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, sehubungan itu Seri Paduka bertitah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga bertitah menasihati rakyat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara.

“Berhubung kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19 dan kewujudan beberapa keluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing.

“Seri Paduka juga bertitah supaya rakyat berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalana kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi Covid-19 demi keselamatan diri serta masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN