PUTRAJAYA: Tidak serik-serik. Itu kedegilan pengunjung kelab malam yang masih terlibat dalam aktiviti berkenaan apabila lebih separuh tangkapan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam melibatkan kesalahan itu iaitu sebanyak 325 daripada 674 kes.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 583 individu dikompaun manakala 91 individu pula direman.
Katanya, kesalahan lain termasuk tidak memakai pelitup muka (170); gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (80); penjarakan fizikal (53); tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI)(22); langgar syarat PKPP iaitu membawa penumpang lebih dua orang (tujuh) dan menyalahguna pas sosial (tujuh).
“Premis beroperasi lebih masa (empat); keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) Bersasar (empat) serta premis beroperasi tanpa lesen sah (dua).
“Operasi Benteng pula berjaya menahan 80 PATI serta berjaya merampas sebuah bot dan kenderaan darat. Daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menangkap 23 PATI sekitar kawasan hutan Pantai Pasir Logok, Felda Tenggaroh 12, Ladang Pasir Logok, Kota Tinggi, Johor kerana masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam sidang akhbar harian PKPP di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 270 kertas siasatan dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu Covid-19.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 133 kes masih dalam siasatan, manakala 35 kes didakwa di mahkamah, 19 mengaku salah dan 12 diberikan notis amaran.
“Tindakan penguatkuasaan aktif dijalankan pada masa ini berdasarkan laporan awam yang diterima.
“Dalam masa sama sebanyak 388 penafian mengenai berita palsu dijelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan pandemik itu,” katanya.
Beliau malah memberi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang rasmi atau boleh dipercayai.
“Perkara yang belum tentu sahih jika kita turut sebarkan dan sekiranya didapati tidak benar, anda juga boleh dikenakan tindakan,” tegasnya. -UTUSAN