SEPANG: Polis berjaya memberkas seorang lagi lelaki dipercayai suspek kes pembunuhan mangsa yang mayatnya ditemui rentung di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier di Kota Warisan pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan itu diberkas di Batu Caves, Selangor, kelmarin.
“Suspek yang ditahan merupakan rakan mangsa dan direman selama tujuh hari hingga 6 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Akhbar hari ini melaporkan dua lelaki berusia 37 dan 42 tahun yang bekerja sebagai kontraktor telah ditangkap polis secara berasingan sekitar Lembah Klang.
Seorang daripada suspek yang berusia 42 tahun diberkas ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur kerana kecederaan akibat melecur.
Difahamkan, lelaki berusia 37 tahun pula ditangkap di rumahnya di Klang, Selangor. -UTUSAN ONLINE