MELAKA: Semua program rasmi melibatkan Ketua Menteri dan pemimpin-pemimpin kanan negeri ditangguhkan berikutan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disahkan positif Covid-19, semalam.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, semua perjumpaan dan urusan terlibat ditangguhkan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“Berikutan terdapat kes positif wabak covid-19 di Melaka baru- baru ini, segala program yang melibatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan barisan Exco ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta.
“Selain itu, perjumpaan melibatkan Ketua Menteri di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri juga ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, orang ramai yang ingin berurusan di pejabat-pejabat kerajaan lain di seluruh negeri Melaka diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, proses nyah cemar yang dilakukan di pejabat pentadbiran di Kompleks Seri Negeri yang tular dalam media sosial adalah proses berkala yang sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.
“Sehubungan itu, orang ramai di seluruh negeri Melaka dinasihatkan tidak panik dengan laporan-laporan yang ditularkan sebaliknya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, ADUN Ayer Limau, Datuk Amirudin Yusof mengesahkan positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di Hospital Melaka.
Amiruddin ketika dihubungi memberitahu, pasukan kesihatan telah datang ke rumahnya kira-kira pukul 4 petang semalam untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.