SEPANG: Sembilan lagi jemaah tabligh selamat tiba dari India semalam melalui penerbangan Air India Express menjadikan jumlah yang telah dibawa pulang setakat ini seramai 170 orang.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, dua daripada mereka menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang manakala tujuh lagi menaiki penerbangan Air India Express dari Tiruchirappalli dan selamat tiba di KLIA pada pukul 6.58 petang.
“Dengan kepulangan sembilan ahli jemaah ini, kementerian berjaya membawa pulang seramai 170 daripada 189 orang ahli jemaah tabligh yang berada di India,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamarudin berkata, sebelum ini seramai 161 jemaah tabligh rakyat Malaysia dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan sejak Julai lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata, semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin selaras dengan peraturan ditetapkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE